Tuesday 30 October 2012

Cerpen Paper Girl ~ Last ~

Tiga minggu berlalu. Aku masih menghitung hari. Birthday aku dan Haniff tinggal beberapa hari sahaja. Emm... apa agaknya si Imran tu tengah buat sekarang yek? Eh.. pelik! Aku masih tak mampu nak memadam ingatanku padanya. Saban malam dia hadir dalam mimpiku. Aku betul-betul angau. Aku betul-betul jatuh cinta! Eh, tak patut tu! Aku tahu perbuatanku itu salah. Jadi, aku cuba kawal perasaanku!

Tiga minggu ini juga sudah berjambak bunga kuterima. Gila sungguh peminatku yang seorang ini. Namun tak kunafikan, aku bahagia. Insan ini sungguh-sungguh berusaha mahu memenangi hatiku tapi aku perlu memberitahunya yang Haniff sudah lebih dulu bertakhta di hati. Maaf... aku betul-betul minta maaf. Aku perlu bersemuka dengan insan yang seorang ini, walau hakikatnya aku sudah mula mengagumi keromantisannya.

Petang itu aku menanti gadis kecil yang sering hadir dengan jambangan segar itu. Aku pernah bertanya siapa yang menyuruhnya, tapi kejap sungguh mulut comel itu menyimpan rahsia. Pernah juga aku mengekorinya, tapi hampa, tiada maklumat kuperolehi.

"Adik.."

Gadis kecil itu berpaling. Dia merenungku yang sedang memegang sejambak ros merah segar di tangan.

"Tolong beritahu orang yang hantar ni, kakak nak jumpa dia. Penting. Ini kes antara hidup dan mati. Kakak nak jumpa dia kat pondok atas bukit petang ni."

Gadis kecil tersenyum sambil mengangguk dan terus berlalu. Aku perlu selesaikan perkara ni segera. Aku perlu ke rumah Haniff malam ini. Hari ini ialah hari yang aku nanti-nantikan selama ini. Birthday aku dan Haniff! Aku ada surprise untuk Haniff. Aku memakai gaun warna pink yang emak belikan khas untuk hari lahirku. Aku bermekap ringkas bersesuaian dengan gaunku. Aku melihat diriku di cermin. Fuh!!! Cantik, jelita dan menawannya! Semua ini aku buat bukan sebab nak jumpa mamat romantik kat atas bukit tu tapi sebab nak jumpa Haniff kesayanganku selepas itu. Pasti Haniff terpegun melihat penampilanku yang feminin ini tambah pula dengan hadiah pen kegemarannya itu.

Oleh kerana hari ini birthday aku, aku dibenarkan memandu kereta kancil ibuku untuk keluar bersiar siar bersama kawan-kawanku. Lebih kurang jam 6.45 petang, aku menuju ke bukit yang aku maksudkan pagi tadi pada gadis kecil itu. Alam agak suram tatkala aku tiba di kaki bukit. Ya Allah! Di sepanjang denai menuju ke atas bukit dihiasi kuntuman ros merah yang segar. Bahagianya aku andai sepanjang hayat dihargai begini. Tuhan aku bagai melihat adegan filem romantik. Sehelai cadar putih terhampar di atas rumput berhampiran dengan sebuah pondok. Sebiji kek berserta lilin ada di atasnya.

"Happy Birthday my dear Nurlisa!"

Aku menoleh. Kau? Imran!!!

"Maaf. Saya tak pernah menunjukkan diri. Saya cuma mampu menyayangi awak dari jauh. Saya mula memerhati awak bila awak mula menghantar paper. Saya berlanggan dengan Tauke Chong kemudiannya, sebab mahu lihat awak lalu di hadapan rumah saya," dia bersuara.

Ketahuilah bahawa aku juga menyayangimu. Aku tidak boleh mombohongi hati ini yang aku rindu padamu. Namun, itu semua hanya bergema di dalam hati. Mana bisa aku menuturkannya. Pelik! Aku boleh cinta dua jejaka pada masa yang sama! Aku kawal perasaanku sekali lagi!

"Maaf, saya mengaku yang saya dah jatuh suka pada awak. Tapi bukan ditakdirkan kita bersama. Saya tak mahu dianggap curang. Tolonglah, awak memang baik, tapi saya tak mampu. Terima kasih atas semua yang awak lakukan selama ini." Air mata jatuh berderai. Aku berlari ke arah kereta kancilku. Lalu aku menghidupkan enjin dan terus memandunya dengan selaju-lajunya. Aku ingin lari jauh dari Imran. Terbayang di mata segala kenangan bersamanya. Tidak! Aku tak boleh simpan kenangan itu. Bagaimana dengan Haniff??? Kenapa dia? Kenapa? Dia yang ku kenang saban hari, dia yang membawa senyum di bibirku, dia yang singgah dalam mimpiku hampir tiap malam. Kalaulah kami ditakdirkan bertemu awal-awal dulu, kalaulah...!

Malam. Aku perlu lupakan segalanya. Aku perlu menemui Haniff. Pen sudah ku balut kemas. Hasil penat lelahku selama berminggu-minggu, kini sudah berhasil. Rumah Haniff gelap sahaja apabila aku tiba. Selalunya tidak begini. Keluarga Haniff pasti akan bersama-sama meraikan hari lahirnya. Mungkin Pakcik Sulaiman dan Makcik Aziah ada hal penting di luar. Sengaja tidak aku bunyikan loceng kerana aku pasti Haniff ada di laman belakang kerana aku terdengar suaranya sayup-sayup di sana. Perlahan aku melangkah. Haniff pasti akan terkejut besar kali ini. Terbayang-bayang di mata kemeriahan yang akan kami lalui bersama malam ini.

"Surprise! Happy Birthday Haniff!" Dan mataku hampir tercabut melihat adegan sumbang itu. Haniff sedang mendakap gadis lain dan bibir mereka bertautan! Ya Allah! Jauhnya kau telah menyimpang Haniff!

"Lisa! Kenapa tak call nak datang. Ini sepupu Haniff!"

Aku sudah tidak mendengar lagi kata-katanya. Berhamburan air mata tak dapat ku tampung. Inikah balasan kesetiaanku selama ini? Inikah balasan penat lelahku selama ini? Pen indah bersalut emas ku campak entah ke mana. Persetan semuanya! Apa gunanya lagi sekarang. Sanggup aku dikejar anjing, keluar menghantar paper jam lima pagi... segalanya aku lakukan untukmu Haniff. Aku sanggup menolak Imran yang mula menggamit hati. Cis, Penipu!

Air mata semakin laju menuruni pipi. Kereta kancil ku pandu mengikut kata hati. Nasib baik kat jalan raya malam tu tak banyak kereta. Keretaku meluncur melalui jalan-jalan kecil menghala ke bukit. Biar aku ubati lukaku di sana. Biarku luahkan rasa kecewaku pada Haniff, rasa kesalku pada Imran! Lagi sekali mataku terpaku apabila tiba di atas bukit. Hamparan putih masih ada. Lilin masih menyala namun telah mencair, menitis ke atas kek, dan dia. Dia masih di situ. Imran masih menanti!

"Sebenarnya saya dah hampir putus asa menanti. Saya hampir saja nak pulang, tapi, saya tak boleh pergi. Puteri yang menjadi ilhamku di sini." Dia menutur kata. Lembut.

"Imran." Aku menghampirinya. Dia meraih tanganku. Mata bertentangan mata. Tak sanggup lagi aku menutur kata. Aku dah kehilangan Haniff, tapi aku tak kehilangan Imran yang betul-betul menyintaiku. Ku pandang bulan yang menyinar cerah di langit tinggi. Dengarlah alam, dengarlah bulan, aku juga menyintai lelaki ini setulus hati.

"Happy Birthday and I love you, Lisa" ujar Imran. Tanganku semakin kemas di dalam genggamannya.


No comments:

Post a Comment